Tuesday 20 March 2012

Kreativiti dan cabaran pelaksanaannya dalam bilik darjah

PENGENALAN

Matlamat wawasan 2020 menekankan kepentingan melahirkan warga Malaysia yang kreatif dan inovatif. Begitu juga dengan Falsafah Pendidikan Negara yang memberikan penekanan kepada usaha melahirkan lebih ramai lagi individu yang kreatif dan inovatif bagi membangunkan negara. Usaha yang disarankan ini dilihat sangat relevan dengan aspirasi pendidikan seni visual kerana subjek ini dilihat sebagai satu cabang disiplin yang membolehkan fikiran kreatif berkembang kerana sifatnya yang tidak konservatif dan tidak jumud.
Hoffa (1964) menjelaskan bahawa program dan aktiviti seni visual seharusnya dijadikan landasan terbaik bagi proses pembelajaran di sekolah untuk mengembangkan kreativiti di kalangan murid. Selain menggalakkan penjanaan idea, mata pelajaran ini banyak memberi peluang dan kebebasan kepada murid untuk melakukan eksplorasi dan percubaan bagi menghasilkan sesuatu karya yang baik. Justeru itu, pemupukan pemikiran kreatif perlu disemai semenjak daripada zaman kanak-kanak lagi. Guru-guru pendidikan seni visual perlu menguasai kaedah merangsang minda ke arah pembentukan individu kreatif.
Storm & Storm(2002) menyatakan kepentingan kreativiti dalam masyarakat telah lama disedari. Para pemimpin, ahli perniagaan,saintis, ahli sejarah, pendidik dan ahli psikologi meyatakan kreativiti sangat diperlukan untuk kelangsungan hidup penduduk di dalam sebuah negara. Dalam konteks Malaysia sebagai sebuah negara yang pesat membangun dan berhasrat menjadi negara maju menjelang tahun 2020, keperluan kepada kreativiti rakyatnya adalah lebih mendesak.

SISTEM PENDIDIKAN DI MALAYSIA SEBELUM KEDATANGAN BRITISH :“SEKOLAH INGGERIS”

1.0       Pengenalan
Pendidikan merupakan elemen utama bagi sesebuah negara dalam usaha menuju ke arah membangunkan masyarakat dari segi ekonomi, politik, dan sosial.  Pendidikan juga sangat penting kerana ia dapat mencetuskan perubahan dalam masyarakat.  Keupayaan intelektual setiap masyarakat bagi sesebuah negara dapat mempengaruhi pembangunan sesebuah negara.  Sistem persekolahan bukan sahaja berperanan untuk memberi pelajaran kepada masyarakat semata-mata malah ia merupakan saluran untuk menyampaikan wadah perjuangan negara yang sangat mementingkan nilai-nilai murni dalam masyarakat berbilang kaum untuk mencapai perpaduan.  Di Malaysia, pendidikan sering menjadi agenda utama kerajaan sebelum dan selepas merdeka.  Pelbagai program telah dirangka dan dilakukan oleh kerajaan bagi melahirkan warga negara yang berilmu pengetahuan seterusnya diharap dapat memajukan negara setanding dengan negara-negara maju yang lain.
            Pendidikan juga dapat menyeimbangkan  sosio-ekonomi di antara kaum dan kumpulan etnik di mana ia dapat dilihat melalui peluang-peluang pekerjaan, pendapatan, dan pegangan ekuiti (Robiah Sidin, 1994).  Apabila keadaan ini tercapai, kestabilan ekonomi, politik, dan sosial akan berkembang maju.  Pada zaman penjajahan British, punca kaum Melayu mundur dan miskin adalah disebabkan mereka tidak diberi peluang yang sama untuk mendapat pendidikan.  Ini menjadi penyebab utama perpaduan yang erat di kalangan masyarakat majmuk sukar untuk dicapai.  Hal ini mempunyai kaitan yang rapat dengan dasar dan sistem pelaksanaan pendidikan yang berbeza antara kaum-kaum yang ada di Tanah Melayu ketika itu.