Wednesday 7 November 2012

Perbezaan Fonetik dan Fonologi



1.0       Pendahuluan
Bahasa yang dihasilkan melalui alat artikulasi manusia disebut pertuturan, kalimat atau ujaran, iaitu satu sistem bunyi yang teratur atau percantuman bunyi yang hadir secara berulang-ulang atau berurutan.  Bahasa berasal daripada bunyi-bunyi yang disebut bunyi-bunyi bahasa.  Bahasa bertindak melalui dua bentuk iaitu  melibatkan bunyi-bunyi bahasa yang dihasilkan melalui alat ujaran manusia dan merangsang pemikiran, situasi sosial dan makna.  Kajian bunyi terbahagi kepada dua bidang, iaitu fonetik dan fonologi.

1.1       Definisi fonetik
Fonetik ialah kajian tentang bunyi-bunyi ujaran manusia. Kajian fonetik memberikan tumpuan kepada ‘fon’ atau bunyi-bunyi bahasa dan bagaimana bunyi- bunyi itu dihasilkan, didengar dan diinterpretasikan.
Menurut Siti Hajar Abdul Aziz (2011), asal perkataan fonetik adalah daripada bahasa Greek yang kemudiannya disebut sebagai phone yang bermaksud bunyi (suara), iaitu kajian tentang bunyi-bunyi ujaran manusia. Kajian fonetik memberikan tumpuan kepada ‘fon’ atau bunyi-bunyi bahasa dan bagaimana bunyi-bunyi bahasa itu dihasilkan, didengar dan diinterpretasikan.
Sementara Indirawati Zahid dan Mardian Shah Omar (2006) pula menyatakan fonetik ialah kajian mengenai bunyi-bunyi bahasa yang dihasilkan oleh manusia iaitu bunyi yang digunakan sebagai alat komunikasi.  Selain itu, fonetik juga boleh didefinisikan sebagai mempelajari segala bunyi yang diucapkan melalui mulut manusia, baik bunyi manusia, bukan bunyi bahasa, mahu pun bunyi-bunyi marginal, dan memberikan simbol fonetik untuk setiap bunyi. (Dr. Lufti Abas, 1975).
Nik Safiah Karim dan Wan Malini Ahmad (2006) pula mentakrifkan bahawa fonetik ialah bidang yang mengkaji bunyi-bunyi yang dihasilkan oleh kita iaitu manusia dan memberikan lambang kepada bunyi-bunyi tersebut.  Abdullah Hassan (2005) pula menjelaskan bahawa fonetik ialah bidang yang mengkaji penyebutan bunyi manusia, terutama bunyi yang digunakan dalam pertuturan.

1.2       Cabang-cabang fonetik
Bidang fonetik terbahagi kepada tiga cabang utama, iaitu fonetik artikulasi, fonetik akustik dan fonetik auditori.  Fonetik artikulasi mengkaji cara bunyi-bunyi bahasa dihasilkan oleh manusia dan bahagian-bahagian (articulator) yang terlibat dalam penghasilan bunyi.  Selain itu, cabang ini juga melakukan pengelasan terhadap bunyi bahasa berdasarkan cara bunyi itu dikeluarkan oleh alat tutur.
Fonetik akustik pula mengkaji sifat-sifat bunyi bahasa.  Sifat fizikal yang dimaksudkan ialah gelombang bunyi ujaran yang dihasilkan oleh pita suara.  Gelombang bunyi ini dapat diukur dengan menggunakan alat seperti spektogram dan osiloskop.   Antara sifat yang diberi perhatian dalam kajian fonetik akustik termasuklah nada, frekuensi dan amplitud.
Fonetik auditori pula mengkaji cara otak memproses bunyi yang diterima melalui telinga dan cara bunyi-bunyi tersebut diinterprestasikan.  Proses yang terlibat dinamakan  sebagai mendekod, yang melibatkan pendengar.  Penutur menukarkan maklumat yang hendak disampaikan dalam bentuk kod-kod yang tertentu seperti bunyi, kata dan ayat manakala pendengar pula mentafsir maklumat ini dalam otak bagi menjadikannya sesuatu yang bermakna dalam komunikasi yang berlangsung. (Indirawati Zahid & Mardian Shah Omar, 2006).

1.3       Definisi fonologi
Fonologi ialah kajian tentang sistem bunyi bahasa yang berkaitan senarai bunyi bahasa dan ciri-ciri bunyi tersebut serta peraturan khusus yang menjelaskan cara bunyi-bunyi tersebut berhubung antara satu sama lain. Tugas bidang fonologi ialah merumuskan, menghuraikan dan menjelaskan segala bentuk bunyi dalam sesuatu bahasa secara terperinci.
Menurut Arbak Othman (1983), fonologi merupakan bahagian daripada linguistik deskriptif  yang  mempelajari bunyi-bunyi yang diucapkan dalam atau melalui mulut manusia.  Nik Safiah Karim dan Wan Malini Ahmad (2006)  pula menjelaskan bahawa fonologi ialah cabang ilmu bahasa yang mengkaji bunyi bahasa sesuatu bahasa dan fungsinya dalam sistem bahasa tersebut. Fonologi terbahagi kepada dua iaitu fonetik dan fonemik.  Fonemik merupakan bidang yang mengkaji bunyi-bunyi sesuatu, iaitu pengkajian tentang fungsi atau struktur bunyi bahasa itu.
Menurut Rahimah Haji Sabran dan Rahim Syam (2005) pula,  bidang fonologi mengkaji sistem bunyi-bunyi yang tertentu dalam pertuturan, khusus bagi sesuatu bahasa. Abdullah Hassan (2005), pula menyatakan fonologi ialah bidang yang mengkaji sistem bunyi-bunyi dalam bahasa.

1.4       Perbezaan fonetik dan fonologi
Menurut Nik Safiah Karim dan Wan Malini Ahmad (2006), bidang fonetik ialah bidang yang mengkaji bunyi-bunyi yang dihasilkan oleh manusia dan memberi lambang kepada bunyi tersebut.  Manakala bidang fonologi pula ialah satu cabang ilmu bahasa yang mengkaji bunyi bahasa sesuatu bahasa dan fungsinya dalam sistem bahasa tersebut. Bunyi bahasa disusun dengan sistem dan bidang fonologi bertujuan untuk menganalisis sistem ini.
Siti Hajar Abdul Aziz (2011) pula menjelaskan bahawa fonetik ialah bidang yang mengkaji fenomena bunyi atau pertuturan manusia yang direalisasikan melalui lambang-lambang tertentu.  Manakala fonologi pula bertugas untuk merumus, menghurai dan menjelaskan segala bentuk bunyi sesuatu bahasa secara teliti dan terperinci untuk menentukan peraturan dan bentuk bunyi secara spesifik.
Fonetik ialah kajian terhadap bunyi fizikal percakapan manusia.  Ia berkaitan dengan sifat fizikal bunyi (fon) serta proses penghasilan fisiologi, penerimaan auditori, dan persepsi neurofizikal.  Manakala Fonologi ialah kajian yang dilakukan mengenai pola bunyi bahasa iaitu tentang bunyi-bunyi yang berfungsi dalam sesuatu bahasa yang dikenali sebagai bunyi bahasa.
Fonetik juga mempelajari cara kerja organ tuhuh manusia, terutama yang berhubungan dengan penggunaan bahasa manakala fonologi ialah ilmu tentang perbendaharaan fonem sesebuah bahasa.  Fonem merupakan istilah linguistik dan merupakan gabungan terkecil dalam sesuatu bahasa yang masih boleh menunjukkan perbezaan makna. Fonem berbentuk bunyi.  Contohnya bunyi [k] dan [g] merupakan dua fonem yang berbeza, seperti dalam perkataan "cagar" dan "cakar".

Sebagai rumusan, didapati kedua-dua bidang ini saling melengkapi  antara satu sama lain.  Bagi memahami fonologi, aspek fonetik perlu dikuasai terlebih dahulu.   Apabila sudah menguasai bidang fonetik, baharulah sistem bunyi bahasa dalam sesuatu bahasa dapat difahami dan dihuraikan dengan sempurna.  Dengan demikian dapat dilihat bahawa fonetik dan fonologi adalah saling berkaitan antara satu sama lain. Garis pemisah antara kedua-duanya adalah kurang jelas walaupun ada sarjana cuba meletakkan garis pemisahnya. 
2.0       Kepentingan kaedah fonetik kepada guru bahasa Melayu
Kaedah fonetik dianggap sebagai kaedah pengajaran bahasa yang saintifik.  Kaedah ini dikenali juga sebagai kaedah ’Reform’ atau ’Kaedah Lisan’.  (Raja Mukhtaruddin, 1980).  Melalui kaedah ini guru-guru boleh memulakan pengajaran dengan latihan mendengar, kemudian bergerak kepada latihan sebutan menurut susunan iaitu bunyi kepada perkataan, kemudian kepada rangkaikata, dan seterusnya kepada ayat.  Kemudian, semua ini digabungkan menjadi dialog-dialog dan cerita-cerita.  Melalui kaedah fonetik, tatabahasa disampaikan secara induktif, dan penulisan karangan pula berdasarkan bahan-bahan yang telah didengar dan dibaca.
Kaedah fonetik ini membenarkan penggunaan bahasa yang telah diketahui oleh pelajar dalam pembelajaran bahasa baharu.  Kaedah ini membandingkan persamaan dan perbezaan bahasa yang telah diketahui oleh pelajar dengan bahasa yang telah dipelajari daripada segi bentuk-bentuk, fungsi, bunyi, struktur ayat, dan makna tetapi perbandingan daripada segi bentuk dan fungsilah yang lebih diutamakan.  Kaedah ini menggunakan bahasa yang diketahui oleh pelajar untuk mempelajari bahasa baharu daripada segi bunyi dan menerangkan perihal nahu berdasarkan perbandingan antara tatabahasa yang dipelajari dengan bahasa yang diketahui.
Kaedah ini mengutamakan sebutan dan bahasa yang diajar ialah bahasa pertuturan.  Isi dan bahan pengajaran dipilih, dikawal, dan disusun berdasarkan penyelidikan dan perbandingan antara bahasa ibunda pelajar dengan bahasa yang diajar.  Perbendaharaan kata dan ayat-ayat yang diajar kepada pelajar disesuaikan dengan keperluan, peringkat umur, jenis, dan latar belakang pelajar. (Nik Hassan Basri Nik Ab. Kadir)
Oleh sebab kaedah fonetik ini mementingkan perbandingan bentuk dan fungsi-fungsi bahasa kandung dengan bahasa kedua, maka dapatlah guru-guru menyediakan bahan-bahan pengajaran yang diajar dengan lebih tersusun dan teratur.  Oleh kerana penyediaan bahan-bahan pengajaran disediakan lebih awal oleh guru, maka kanak-kanak dapat dilatih dengan lebih sempurna bagi mengenal atau memahirkan bentuk-bentuk atau corak-corak ayat yang tertentu.  Dengan demikian, murid-murid mendapat asas bahasa yang kukuh.  Justeru, mereka dapat memahami tatabahasa yang dipelajari dengan jelas dan tepat.  Selain itu, murid-murid akan cepat bertutur dan membuat ayat dalam bahasa yang dipelajari dengan mengikut bentuk-bentuk ayat bahasa ibunda mereka sendiri.
2.1       Teknik Pengajaran Kaedah Fonetik
Untuk mengajar menggunakan kaedah fonetik, guru perlu mendahulukan pengajarannya dengan mengajar sebutan bunyi perkataan-perkataan bahasa yang dipelajari, yang ada persamaan dengan bahasa yang diketahui.  Guru kemudiannya membuat latihtubi bunyi-bunyi bahasa yang dipelajari, yang mempunyai perbezaan dengan bahasa yang diketahui kerana bunyi-bunyi inilah yang menimbulkan kesulitan untuk menyebutnya.  Pilih bunyi-bunyi yang tidak ada dalam bahasa ibunda kanak-kanak, misalnya kepada kanak-kanak Cina, bunyi-bunyi dasar seperti ’b’, ’r’, ’j’, ’d’, itu patut diutamakan kerana dalam bahasa mereka bunyi-bunyi dasar ini tiada perbezaan.  Oleh sebab itulah terdapat kanak-kanak Cina menyebut ’baju’ sebagai ’maju’, ’bulu’ sebagai ’mulu’, ’rumah’ sebagai ’lumah’, ’rokok’ sebagai ’lokok’, ’jalan’ sebagai ’yalan’, ’dalam’ sebagai ’lalam’ dan lain-lain lagi.
            Apabila mengajar kosa kata, guru haruslah memulakan dahulu pengajaran perbendaharaan kata yang mudah yakni perbendaharaan kata yang ada persamaan dengan bahasa yang diketahui.  Semasa memilih perkataan-perkatan itu hendaklah didahulukan perkataan-perkataan yang serupa.  Antaranya ialah ’coffee dengan kopi’, ’radio dengan radio’, ’biscuit dengan biskut’, ’bag dengan beg’, ’computer dengan komputer’, dan yang seumpamanya.
            Ketika mengajar struktur-struktur ayat, struktur-struktur yang ada persamaan dengan bahasa yang diketahui perlulah didahulukan.  Kemudian baharulah dipilih bentuk-bentuk ayat yang tiada atau berlainan dengan bahasa yang diketahuinya.
2.2       Konsep Membaca Kaedah Fonetik
            Kaedah belajar membaca bagi kanak-kanak sekarang telah berubah dari sistem ejaan suku kata kepada sistem bacaan secara fonetik. Pendekatan ini digunakan kerana strategi pengajarannya yang lebih dinamik berbanding sistem kaedah membaca secara tradisional. Pengajaran membaca menggunakan kaedah tradisional dikesan mengambil masa yang agak lama bagi membolehkan kanak-kanak mahir dan menguasai kemahiran membaca.
Kaedah fonetik sebenarnya telah lama dipraktikkan di negara-negara maju. Kaedah fonetik memfokuskan kepada bunyi simbol huruf, berbeza dengan kaedah tradisional yang menekankan teknik penghafalan nama huruf. Kaedah ini sedikit sebanyak mengurangkan beban kanak-kanak untuk menghafal. Kaedah ini juga merupakan kaedah yang paling sesuai untuk kanak-kanak kerana kaedah ini telah dibuktikan secara saintifik sebagai kaedah otak manusia membaca.
Kaedah fonetik mensyaratkan murid mengenal dan mengingat bentuk huruf dan bunyinya tanpa mengingat nama huruf.  Kaedah ini adalah berasaskan teori bahawa belajar membaca melibatkan kebolehan mengenal kod (lambang), hubungan antara bunyi dan lambang yang dilihat.
            Kaedah ini menekankan kepada setiap bunyi-bunyi abjad yang terdapat dalam bahasa.  Setiap abjad mempunyai bunyi-bunyi tertentu dan ada juga abjad yang mempunyai lebih daripada satu bunyi terutama dalam bahasa Inggeris.  Kaedah ini boleh dimulakan dengan pengenalan bunyi huruf-huruf vokal dan konsonan seperti berikut:

a.                   Bunyi vokal
a
aaa
e
eee
i
iii
o
ooo
u
uuu




 b.                  Bunyi konsonan
b
beh
n
en
c
ceh
p
peh
d
deh
q
qeh
f
feh
r
rer
g
geh
s
sss
h
heh
t
teh
j
jeh
v
vev
k
keh
w
weh
l
el
y
yeh
m
em
z
zez







Bunyi-bunyi tersebut kemudian digabungkan untuk membentuk suku kata, dan seterusnya kepada pembentukan perkataan yang bermakna. Guru-guru boleh menggunakan gambar-gambar ilustrasi untuk menarik minat murid-murid sebagai sokongan. 
Murid-murid tidak diajar nama-nama huruf, sebaliknya diajar bunyi-bunyi huruf.  Setelah mereka tahu hubungan tiap-tiap huruf dengan bunyinya, sukukata pula boleh dibina, kemudian baru digabungkan suku kata-suku kata ini menjadi perkataan-perkataan.  Seterusnya murid-murid diberi latihan membaca ayat-ayat mudah yang menggunakan perkataan-perkataan yang telah dipelajari.

3.0       KESIMPULAN

Kajian fonetik dan fonologi melibatkan organ pertuturan manusia secara langsung. Organ tutur manusia ini disebut alat artikulasi. Terdapat banyak alat artikulasi manusia dan setiap satunya mempunyai kedudukan dan fungsi yang berbeza  dalam menghasilkan bunyi bahasa. Namun demikian terdapat unsur yang bukan dikategorikan sebagai alat artikulasi manusia, tetapi mempunyai peranan yang amat penting dalam menghasilkan bunyi. Unsur tersebut ialah udara dan merupakan sumber tenaga utama dalam menghasilkan bunyi.
Bunyi vokal atau konsonan merupakan antara bunyi bahasa yang dihasilkan oleh alat artikulasi manusia. Semua bunyi vokal merupakan bunyi-bunyi bersuara, manakala bunyi konsonan ada yang bersuara dan ada yang tidak bersuara. Bunyi bersuara dan tidak bersuara ini berkait rapat dengan keadaan pita suara. Sekiranya keadaan pita suara (glotis) tertutup rapat sewaktu udara keluar melaluinya, maka getaran akan berlaku pada pita suara dan bunyi yang terhasil ialah bunyi bersuara. Sebaliknya jika pita suara itu direnggangkan atau terbuka sewaktu udara melaluinya, maka getaran pada pita suara tidak berlaku maka yang terhasil ialah bunyi yang tidak bersuara.
 Kaedah fonetik juga merupakan kaedah yang paling sesuai untuk guru-guru mengajar kanak-kanak membaca dengan cepat kerana kaedah ini telah dibuktikan secara saintifik sebagai kaedah otak manusia membaca.  Hal ini adalah kerana otak membaca dengan memecahkan perkataan yang dilihat kepada bunyi-bunyi, lalu otak membunyikan huruf-huruf yang dilihat bagi menyebut atau membaca  perkataan itu. 


Rujukan

Abdullah Hassan. (2005). Linguistik am: Siri pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu.   Kuala Lumpur: PTS Profesional Publishing Sdn. Bhd.

Arbak Othman.  (1983).  Permulaan ilmu linguistik:  Suatu pengenalan konsep dan bidang
    kajian secara toritis.  Kuala Lumpur:  Sarjana Enterprise.

Indirawati Zahid & Mardian Shah Omar.  (2006).  Fonetik dan fonologi.  Kuala Lumpur:  PTS Profesional Publishing Sdn. Bhd.

Nik Hassan Basri Nik Ab. Kadir.  (2005).  Teori bahasa:  Implikasinya terhadap pengajaran tatabahasa.  Tanjong Malim:  Penerbit Universiti Pendidikan Sultan Idris.

Nik Safiah Karim & Wan Malini Ahmad. (2006).  Teks bahasa Melayu STPM.  Shah Alam: Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd.

Raja Mukhtaruddin bin Raja Mohd. Dain. (1980).  Kaedah dan teknik mengajar bahasa: 
     Dengan rujukan khas kepada pengajaran bahasa Melayu.  Kuala Lumpur:  Pustaka Ilmu.

Sheikh Roslam Sheikh Abdullah & Aminuddin Bin Mamat (2011).  Modul PGSR:  WAJ3104 Literasi bahasa.  IPG Kampus Kota Bharu.

Siti Hajar Abdul Aziz.  (2011).  Bahasa Melayu I edisi kedua.  Kuala Lumpur:  Oxford Fajar Sdn. Bhd.




No comments:

Post a Comment