1.0
Pengenalan
Intervensi
awal didefinisikan sebagai usaha tersusun untuk meningkatkan perkembangan bayi dan kanak-kanak yang
mengalami tumbesaran lambat (Fatimah Bivi,2002). Intervensi awal bermaksud
memberi perkhidmatan rawatan, pemulihan, bimbingan dan khidmat nasihat kepada
kanak-kanak dan juga ibu bapa sebaik sahaja sesuatu kecacatan dikesan atau
dikenalpasti dialami oleh kanak-kanak (Kail, 2001). Perkhidmatan ini diberikan
seawal mungkin agar kanak-kanak tersebut boleh diberikan bantuan dari aspek
bahasa, sosial, emosi dan psikomotor agar perkembangan dalam aspek tersebut
dapat diberikan agar tidak ketinggalan terlalu jauh dari aspek perkembangan
umur dan fizikal dibandingkan dengan kanak-kanak lain yang seusia dengan
mereka.
Program
intervensi awalan bertujuan memberi bantuan kepada ibu bapa untuk mengambil
langkah tertentu supaya pengesanan dan rawatan lebih awal dapat dilakukan dan mengurangkan ketidakupayaan, permasalahan
atau kecacatan yang dialami oleh individu berkeperluan khas. Menurut Hallahan
Kaufman (2003), kebanyakan pendidik dan ahli sains sosial percaya bahawa lebih
awal kecacatan seseorang individu dikenal pasti dan diberi program pendidikan
yang bersesuaian atau rawatan tertentu, lebih baik penghasilan yang boleh diperoleh
oleh seseorang kanak-kanak berkeperluan khas. Intervensi awal yang intensif
bertujuan untuk mengurangkan kesan sesuatu kurang upaya kepada pembelajaran dan
mengelaknya menjadi lebih ketara apabila kanak-kanak memasuki alam
persekolahan.
Kajian-kajian menunjukkan bahawa
intervensi awal membawa kesan positif kepada kanak-kanak kurang upaya dan yang
berisiko tinggi dalam jangka masa pendek dan jangka masa panjang. Di Amerika
Syarikat perkhidmatan intervensi awal (3 tahun ke bawah) diwajibkan untuk
kanak-kanak yang mengalami perkembangan lewat dan kanak-kanak berisiko tinggi
(IDEA,1990). Mengapa ia dikatakan penting?
1.1
Intervensi awal
memainkan peranan penting dalam melengkapkan kesan kanak-kanak berkeperluan
khas dengan kemahiran asas sebelum mereka masuk ke sekolah rendah.
1.2
Intervensi awal yang
komprehensif dan intensif adalah berfaedah kepada keluarga dan masyarakat.
Intervensi awal mempunyai impak yang positif kepada persekitaran terdekat
kanak-kanak berkeperluan khas. Atas sebab itu juga, setiap individu dalam
sesebuah komuniti perlu sedar akan tanggungjawab masing-masing ke atas
kanak-kanak berkeperluan khas (Lerner, 2003).
1.3
Intervensi
awal dapat membantu perkembangan pelbagai kebolehan kanak-kanak. Contohnya
seorang kanak-kanak bermasalah pendengaran yang diajar menggunakan bahasa
isyarat secara tidak langsung dapat mempertingkatkan mindanya dan membuka
peluang untuk dia berinteraksi dengan kanak-kanak lain.
1.4
Kejadian
masalah lain yang terikat dengan kesukaran awal boleh diatasi melalui
perkhidmatan intervensi awal. Contohnya kanak-kanak yang mengalami masalah
penglihatan tetapi tidak diberi intervensi awal, mungkin mengalami masalah
emosi seperti perasaan kecewa.
1.5
Intervensi
awal juga menawarkan penjimatan wang bagi sesebuah masyarakat. Intervensi awal
yang intensif dan berkesan mengurangkan beban penyediaan pendidikan khas pada
peringkat sekolah rendah dan menengah. Bilangan kanak-kanak yang memerlukan
perkhidmatan pendidikan khas mungkin berkurangan.
2.0
Kategori
Kanak-Kanak Berisiko Atau Berkeperluan Khas
Kanak-kanak berkeperluan khas sering
dikaitkan dengan ketidakupayaan pembelajaran. Sebenarnya ketidakupayaan
pembelajaran bukanlah bermaksud bodoh, lembab, malas, atau tahap kecerdasan
yang rendah. Keadaan ini juga bukanlah berlaku akibat daripada perbezaan budaya,
status sosial, kekangan ekonomi, dan pengaruh persekitaran. Ketidakupayaan
pembelajaran bermaksud masalah khusus di dalam otak kanak-kanak ini, yang
menjejaskan cara seseorang itu memproses dan bertindak balas terhadap sesuatu
maklumat. Terdapat beberapa kategori kanak-kanak berisiko atau berkeperluan
khas yang dikaitkan dengan ketidakupayaan pembelajaran.
2.1
Disleksia – ini adalah
ketidakupayaan pembelajaran yang menjadikan kanak-kanak itu sukar membaca,
menulis dan mengeja dalam cara yang biasa.
2.2
ADHD(Attention Defict
and Hyperactivity Disorder) – ini adalah satu gangguan yang menjejaskan
keupayaan otak untuk menumpukan atau memfokus kepada sesuatu benda. Misalnya,
seseorang kanak-kanak itu mungkin normal, cerdas dan bijak tetapi dia tidak
dapat menumpukan perhatiannya dan mengawal tingkah lakunya sendiri.
2.3
Dispraksia – ini satu
ketidakupayaan pembelajaran yang melibatkan masalah dengan gerakan anggota
tubuh.
2.4
Diskalkulia – satu
jenis ketidakupayaan pembelajaran yang melibatkan Matematik dalam membuat
pengiraan. Walaupun berkali-kali diajar dengan cara yang paling mudah, namun
kanak-kanak ini sukar memahaminya.
2.5
Autisme – ini pula
merujuk kepada ketidakupayaan kanak-kanak mengalami dunia persekitarannya
seperti kanak-kanak normal yang lain. Mereka sukar bercakap dan berbual-bual,
sebaliknya mendiamkan diri serta memerlukan bantuan untuk berkomunikasi.
2.6
Lembab – Kanak-kanak
lembab biasanya tidak dapat mengikuti pelajaran yang diajar oleh guru yang
menggunakan kaedah biasa. Ini
kerana mereka tidak dapat memberi tumpuan dan minat terhadap proses pengajaran
dan pembelajaran.
2.7
Terencat
akal – Kerencatan akal merujuk kepada kecerdasan akal di bawah kecerdasan
purata. Mereka yang menunjukkan kelambatan dalam perkembangan mental. Mereka
sukar mempelajari kemahiran dan konsep, mengingati mata pelajaran dan
menggunakan maklumat bagi menyelesaikan masalah.
Kategori
kanak-kanak seperti contoh di atas sememangnya menghadapi masalah dalam
pembelajaran. Mereka selalunya lambat untuk menerima dan memahami sesuatu
pengajaran. Kanak-kanak ini juga selalunya tidak dapat bergaul dan mengikuti
kelas seperti murid yang normal. Mereka ini perlu diberi perhatian serta
pembelajaran yang lebih istimewa sesuai dengan kemampuan mereka. Oleh itu,
program intervensi awal bagi kanak-kanak
ini perlu bagi membantu mereka dalam perkembangan pelbagai kebolehan dan
kemahiran seperti kanak-kanak normal yang lain.
3.0
Peranan
Ibu Bapa, Guru dan Pihak Pentadbiran Pusat
3.1 Peranan Guru
Guru memainkan peranan penting dengan
mengenalpasti murid dalam masalah pembelajaran agar mereka tidak terus
ketinggalan. Guru perlu mendapatkan semua sumber maklumat yang boleh diperoleh,
termasuk ibu bapa, doktor dan persatuan bagi membantu murid berkenaan. Saringan
yang dilakukan oleh guru pada peringkat awal mungkin dapat membantu murid
berkenaan untuk mendapatkan rawatan awal dan seterusnya merancang kaedah pengajaran
dan pembelajaran yang terbaik untuk murid tersebut.
Perancangan yang sepatutnya perlu
dibuat untuk membantu murid menangani situasi yang yang dihadapinya, merangsang
pembelajaran, dan menyediakan persekitaran yang membolehkan kanak-kanak ini
mengamalkan apa yang dipelajarinya. Guru juga perlu menunjukkan perasaan kasih
sayang dan penghormatan terhadap murid tersebut. Mereka akan berasa bahawa
mereka penting dan merupakan komuniti dalam sesuatu sesi pembelajaran.
3.2 Peranan Ibu Bapa
Selain guru, ibu bapa adalah
individu yang sangat penting dalam kehidupan murid ini. Jangan sesekali berasa
kecewa kerana mempunyai anak yang bermasalah dalam pembelajaran tetapi perlu
bangkit dan berusaha meyakinkan anak-anak mereka bahawa anak-anak ini mampu
berjaya seperti anak-anak normal yang lain. Adalah amat mengecewakan apabila
ada sebilangan ibu bapa yang berasa malu dan cuba menidakkan kehadiran anak
mereka ini. Sepatutnya ibu bapa prihatin dengan anak-anak istimewa dan cubalah
berbincang atau membuat sesuatu untuk masa depan anak-anak mereka seperti
berbincang dengan guru mendapatkan pandangan dan tindakan sewarjarnya boleh
dilakukan
3.3 Peranan Pihak Pentadbiran Pusat
Bagi pihak pentadbiran pusat pula,
di bawah program Kementerian Pelajaran Malaysia telah merangka pelbagai
program untuk membantu murid-murid yang menghadapi masalah pembelajaran.
Contohnya program 3M (Membaca, Menulis dan Mengira) telah diperkenalkan semenjak
tahun 1960-an bagi memantapkan usaha membantu kira-kira 100,000 murid sekolah
rendah dikenalpasti belum menguasai kemahiran asas membaca, menulis dan mengira
(3M).
Pada tahun 1983, apabila Kurikulum
Bersepadu Sekolah rendah (KBSR) diperkenalkan, satu usaha telah diwujudkan
untuk membantu murid yang tidak dapat menguasai 3M melalui Program Pemulihan
Khas. Bagi memastikan sasaran semua murid sekolah rendah yang tidak mempunyai
masalah kesihatan menguasai kemahiran 3M akhir Tahap Satu iaitu selepas tamat
persekolahan Tahun Tiga. Satu Jawatankuasa Pemulihan Khas peringkat Jabatan
Pelajaran Negeri (JPN), Pejabat Pelajaran Daerah( PPD) dan sekolah bagi
memantau perkembangan pelaksanaannya.
Pada tahun 2006, Kementerian
Pelajaran Malaysia
telah memperkenalkan Program KIA2M (Program Kelas Intervensi Awal Membaca dan
Menulis) bagi membantu murid Tahun 1 menguasai kemahiran asas membaca dan
menulis dalam Bahasa Melayu serta menangani masalah keciciran murid menguasai
kemahiran 2M. Program ini dilakukan dalam tiga fasa. Selepas ujian penapisan,
murid yang gagal dalam ujian akan mengikuti KIA2M fasa pertama. Selepas itu,
akan diadakan pula ujian pelepasan. Murid yang berjaya akan mengikuti kelas
seperti biasa. Murid yang gagal pula akan mengikuti KIA2M fasa kedua. Ujian
pelepasan seterusnya akan dilakukan sekali lagi. Murid yang berjaya dalam ujian
itu akan mengikuti kelas pada tahun berikutnya. Murid yang gagal pula mengikuti
kelas pemulihan khas. Selama empat tahun kelas KIA2M dijalankan namun hasrat
untuk melihat pencapaian murid menguasai kemahiran membaca dan menulis tidak
tercapai. Hampir 85,000 murid
tahun satu di negara kita belum menguasai kemahiran 2M.
Bermula
tahun 2010, Program LINUS telah dilaksanakan bagi menggantikan KIA2M (Kelas
Intervensi Asas Membaca dan Menulis). Program LINUS adalah singkatan dari
Literacy & Numeracy Screening di mana sasaran Kementerian Pelajaran
Malaysia (KPM) menyasarkan bahawa semua murid normal berkeupayaan untuk
menguasai asas literasi dan numerasi selepas tiga tahun mengikuti pendidikan
rendah menjelang 2012.
Di bawah
Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menyediakan
perkhidmatan untuk kanak-kanak yang menghadapi masalah seperti cacat fizikal
teruk, terencat akal sederhana dan teruk, pelbagai kecacatan dan kecacatan yang
tidak membolehkan kanak-kanak tersebut belajar di sekolah-sekolah yang
disediakan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia.
Pada dasarnya,
kurikulum pendikan untuk murid berkeperluan khas masih lagi mengalami pelbagai
kekurangan iaitu daripada guru terlatih dalam bidang pendidikan khas, kewangan,
kemudahan, pakar dan termasuk kurikulum yang sesuai. Di samping itu, belum lagi
wujud program intervensi awal yang teratur dan komprehensif bagi membantu
kanak-kanak istimewa ini sebelum mereka masuk ke alam persekolahan.
Di sini jelaslah
menunjukkan bahawa masalah pembelajaran bukanlah satu masalah yang mudah untuk
ditangani, tetapi ia adalah satu masalah yang memerlukan kerjasama dari banyak
pihak untuk memastikan pelajar ini mendapat peluang belajar sebagaimana pelajar
normal yang lain.
Adalah penting
untuk ibu bapa yang mempunyai anak-anak yang lemah dalam pembelajaran
menghantar anak-anak mereka untuk penilaian lanjut. Begitu juga guru-guru yang
mengenalpasti pelajar-pelajar terutamanya mereka yang gagal dalam KIA2M mahupun
LINUS untuk menjalani penilaian lanjut agar diagnosis boleh dilakukan dan
mereka mendapat tempat yang sepatutnya dalam sistem pendidikan.
4.0
Bentuk Pengajaran dan Pembelajaran
Terdapat beberapa bentuk pengajaran dan pembelajaran yang
sesuai untuk golongan kanak-kanak yang
mempunyai masalah ini.
4.1 Program Kelas Intervensi Awal Membaca
dan Menulis (KIA2M)
Program ini
mensasarkan murid-murid yang lambat atau belum menguasai kemahiran membaca dan
menulis. Fokus program ini ialah untuk membolehkan murid menguasai kemahiran
asas Bahasa Melayu. Oleh itu konsep
pengajaran Bahasa Melayu merentas kurikulum mestilah dijalankan sepenuhnya
dengan menggunakan strategi penggabungjalinan.
Strategi pengajaran dan pembelajaran untuk kelas ini melibatkan beberapa
langkah seperti pencalonan, ujian penapisan, perancangan, pengajaran, penilaian
dan tindakan susulan. Strategi pengajaran yang boleh digunakan ialah seperti
berpusatkan guru dan berpusatkan murid. Antara teknik pengajaran yang boleh
dilaksanakan ialah seperti teknik bercerita, teknik latih tubi, teknik tunjuk
cara, teknik bersoal jawab, teknik main peranan dan teknik menyanyi.
4.1.1 Intervensi Berpusatkan Guru
Pengajaran dan pembelajaran secara berpusatkan
guru adalah satu kaedah berkesan untuk mengawal kanak-kanak bermasalah
pembelajaran ini. Kaedah ini
memerlukan guru memainkan peranan utama dalam sesi pengajaran dan pemulihan.
Guru yang menentukan jenis strategi yang perlu digunakan, model dan demonstrasi, memberi arahan kepada
kanak-kanak dan memantau kemajuan mereka. Kumpulan kecil yang terdiri daripada
murid yang menghadapi masalah yang sama atau hampir sama dibentuk. Guru
menjalankan pengajaran menggunakan modul pengajaran yang disediakan.
4.1.2
Intervensi Berpusatkan Pelajar
Intervensi
berpusatkan pelajar adalah sesuai untuk pelajar yang berkemampuan mengawal
tingkah laku sendiri. Justeru, pelajar yang boleh mengawal tingkah laku sendiri
dikenal pasti dahulu dan barulah intervensi berpusatkan pelajar dijalankan.
Intervensi berpusatkan pelajar memerlukan pelajar berperanan utama tetapi masih
mendapat bimbingan dalam beberapa perkara oleh guru kelas. Pelajar akan diajar
prosedur-prosedur kawalan diri, menentukan matlamat yang realistik, menangani
kekecewaan dan cara mengatasi masalah. Guru menumpukan perhatian kepada murid
secara individu bagi membantu dan membimbing murid mengatasi masalah yang
dihadapinya. Selain itu, bantuan daripada rakan sebaya juga boleh digunakan.
4.2 Bentuk
Pengajaran dan Pembelajaran untuk Kanak-kanak Bermasalah Pembelajaran
Apabila mengajar
bahasa kepada golongan kanak-kanak yang mempunyai masalah pembelajaran atau
autistik ini, para guru hendaklah menggunakan beberapa teknik pengajaran dan
pembelajaran khusus bagi memenuhi keperluan kanak-kanak tersebut. Di antara
langkah-langkah yang boleh membantu kanak-kanak ini ialah :
4.2.1 Ajar bahasa di dalam situasi
Mengajar
bahasa di dalam situasi yang diadakan akan membantu kanak-kanak memahami isi
pelajaran dan seterusnya menguasai kemahiran bahasa yang diajar.
Contohnya :
membantu ayah di gerai.
4.2.2 Mengikut
urutan perkembangan bahasa normal
Pengajaran bahasa hendaklah berdasarkan
kemampuan berbahasa kanak- kanak mengikut peringkat umur kanak-kanak itu.
4.3 Bentuk Pengajaran dan Pembelajaran untuk
Kanak-kanak Bermasalah Pendengaran
Kemudahan pengajaran dan pembelajaran untuk
golongan ini banyak disediakan oleh kerajaan. Kemudahan ini bertambah dari
masa ke semasa selaras dengan pertambahan golongan bermasalah pendengaran ini
di Malaysia. Terdapat beberapa kaedah pengajaran dan pembelajaran untuk pelajar
yang sebegini. Antaranya ialah:
4.3.1 Bacaan
bibir
Bacaan bibir adalah
kaedah pengajaran dan pembelajaran melalui memahami pertuturan dengan mengikut
atau memerhati bibir penutur termasuk memahami dan mentafsir hinggas ke otot
muka dan gerak badan penutur. Bacaan bibir adalah pertuturan tulin atau pure oral yang memberi tekanan kepada pengajaran dan
pembelajaran bahasa melalui pertuturan secara ‘sengaja’. Pendekatan pengajaran
dan pembelajaran melalui bacaan bibir memerlukan murid –murid bermasalah
pendengaran ini bertutur seperti murid-murid biasa.
Alat bantu
pendengaran dapat membantu kanak-kanak ini menguasai bahasa dengan baik. Sistem
ini sesuai untuk kanak-kanak yang mempunyai kemampuan pendengaran antara 40
hingga 65 desibel. Kaedah pengajaran seperti ini boleh berjaya sekiranya usaha
dilakukan berterusan.
4.3.2 Pertuturan Kiu
Pengajaran melalui kaedah ini ialah dengan
menggunakan sistem pergerakan tangan
yang boleh membezakan bunyi-bunyi
apabila melihat pergerakan bibir, contohnya bunyi /p/, /b/, dan /m/ iaitu bunyi
fitur disingtif seperti bunyi vokal dan bunyi nasalisasi (sengau). Tangan digerak hampir dengan muka penutur
bukan merupakan isyarat tetapi adalah cara untuk menidentifikasikan bunyi-bunyi
fitur distingtif. Penutur menggunakan
salah satu daripada tangan mereka untuk membolehkan pembaca bibir mengecam
dengan jelas setiap suku kata yang dituturkan.
Pengajaran dan
pembelajaran melalui kaedah ini lebih berkesan terhadap murid-murid yang hanya mempunyai masalah tahap pendengaran
yang sedikit. Kanak-kanak yang mempunyai masalah pendengaran yang berat agak
sukar untuk menguasainya. Melalui pertuturan kiu murid-murid bermasalah ini
berpeluang menguasai bahasa dengan baik.
4.3.3 Komunikasi
Seluruh
Kaedah pengajaran
dan pembelajaran ini menggunakan keseluruhan bahasa iaitu gerakan isyarat, bahasa isyarat, mimik
muka, pertuturan, bacaan bibir, ejaan jari, membaca dan menulis. Komunikasi
seluruh membenarkan guru menggunakan apa sahaja untuk membolehkan murid-murid
menguasai bahasa seperti mimik muka, lakonan, pertuturan dan sebagainya. Untuk
menguasai kaedah pengajaran ini secara berkesan, maka guru-guru perlu menguasai
setiap kod bagi mewakili kosa kata bahasa semasa pengajaran. Di samping itu
guru juga perlu memahami prinsip penggunaan kod bagi menggambarkan proses
morfologi.
4.3.4 Bahasa Isyarat Kod Tangan Bahasa Melayu
(KTBM)
Menurut Abdullah
Yusoff (1996) KTBM adalah bahasa isyarat yang menggunakan seluruh anggota
termasuk mimik muka semasa berkomunikasi. KTBM adalah menurut asas-asas dan
tatabahasa serta prinsip-prinsip Bahasa Melayu. Melalui kaedah ini, murid
diajar dengan menggunakan kod tangan iaitu melalui pergerakan tangan.
4.4 Bentuk
Pengajaran dan Pembelajaran untuk Kanak-kanak Bermasalah Penglihatan
Guru boleh
menyediakan bahan pembacaan yang mempunyai saiz besar dan sesuai ataupun bahan
audio untuk membantu pembelajaran. Bahan bacaan yang disediakan hendaklah jelas
seperti huruf yang pelbagai warna. Semasa menulis di papan tulis, guru boleh
menyebut secara lisan bahan yang ditulis untuk kemudahan kanak-kanak ini. Guru
juga perlu memberi perhatian kepada susunan bilik darjah dan pastikan
kanak-kanak tersebut ditempatkan berhampiran papan tulis.
5.0
Penutup
Tiada siapa boleh
melawan takdir yang telah ditentukan oleh Tuhan atas kejadian yang berlaku di
muka bumi ini. Setiap insan yang dilahirkan menginginkan dirinya dalam keadaan
sempurna dari segi fizikal, mental, emosi dan sosial. Masyarakat hendaklah
memahami bahawa kanak-kanak ini juga mempunyai impian dan cita-cita.
Keprihatinan ibu bapa terhadap mereka akan dapat mengurangkan beban yang
ditanggung dan memberi semangat untuk mereka terus hidup.
Kaedah pengajaran
yang berkesan merupakan tonggak kejayaan seseorang pelajar. Jika pelajar
merasakan kaedah pengajaran yang diterima adalah berkesan maka ini akan secara
tidak langsung mempengaruhi pencapaian akademik pelajar. Penggunaan kaedah dan
strategi yang pelbagai akan menjadikan sesuatu pengajaran itu menarik dan akan
memberi ruang untuk membolehkan pelajar terlibat secara aktif dan bergiat
sepanjang sesi pengajaran tanpa merasa jemu dan bosan.
Ringkasnya, intervensi awal boleh meningkatkan intelek,
meningkatkan perkembangan fizikal dan meningkatkan penguasaan bahasa
kanak-kanak berkeperluan khas. Intervensi awal yang sistematik menghalang
kewujudan masalah lain, mengurangkan tekanan kepada keluarga, dan mengurangkan
pembinaan institusi khas. Dengan adanya intervensi awal yang teratur, keperluan
untuk pendidikan khas di peringkat persekolahan dapat dikurangkan dan ini
menjimatkan perbelanjaan negara yang dikhaskan untuk kemudahan penjagaan,
kesihatan dan pendidikan.
RUJUKAN:
Abdullah Yusuff, (1996). Pemaparan Idea Dalam Karangan: Kajian Kes Terhadap Karangan Pelajar
Pekak. Jurnal Dewan Bahasa,40:4,321-336.
Kementerian Pelajaran Malaysia, (1985). Komunikasi
Seluruh Bahasa Melayu Kod Tangan. Jilid 1, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan
Pustaka.
Mohd Sharani Ahmad, (2006). Psikologi Kanak-Kanak. Kuala Lumpur: PTS Publishing Sdn. Bhd.
Nordin Tahir. Kanak-kanak Berkeperluan Khas. IPG Kampus
Ipoh, Perak.
Salhah Abdullah,(2009). Kecerdasan Pelbagai: Aplikasi dalam Pengajaran dan Pembelajaran.
Kuala Lumpur: PTS Profesional Publishing Sdn. Bhd.
Hj. Zulkiply b Hj. Yaakob. Intervensi Awal. IPG Kampus Tun Hussein Onn, Batu Pahat, Johor.
Abd. Rahim Talib,(2006). Pengenalan Pendidikan Kanak-Kanak Masalah Pembelajaran. Kuala
Lumpur: MeteorDoc. Sdn. Bhd.
Chua Tee Tee & Koh Boh Boon. 1992. Pendidikan Khas Dan Pemulihan. Kuala
Lumpur. Dewan Bahasa dan Pustaka.
Mohd. Salleh Lebar,(1999). Masalah Pengajaran dan
Pembelajaran Kanak-kanak Berkeperluan Khas Dalam Pendengaran. Serdang.
Universiti Putera Malaysia.
Capaian Internet:
Alhamdulillah dan terima kasih...perincian anda tentang intervensi sangat-sangat membantu sy...
ReplyDeleteAlhamdulillah dan terima kasih...perincian anda tentang intervensi sangat-sangat membantu sy...
ReplyDeletealhamdulillah..terima kasih...sy mohon ambil sedikit ilmunya...
ReplyDeleteTerima kasih atas perkongsian yang sangat bermanfaat dalam blog ini.Saya memohon izin menyalin maklumat yang ada untuk tujuan penambahbaikan dalam program intervensi yang dilaksanakan dalam panitai Bahasa Melayu di sekolah saya.
ReplyDelete