Tuesday 30 September 2014

KAJIAN KES SEJARAH MELAYU



1.0              PENGENALAN
Sulalat-us-Salatin atau Sejarah Melayu menceritakan tentang Kesultanan Melayu Melaka, asal usul Raja Melaka yang dikatakan hasil daripada perkahwinan Iskandar Zulkarnain dengan puteri berketurunan India, keturunan Raja Melaka sebelum serangan Portugis pada 1511 dan zaman selepas serangan Portugis iaitu zaman Kesultanan Johor-Riau.
Oleh yang demikian, Sejarah Melayu dikarang bertujuan menceritakan mengenai raja-raja Melayu yang memerintah negeri-negeri Melayu terutama raja-raja Melaka, dan merakamkan segala adat istiadat Melayu yang menunjukkan satu tatacara pentadbiran/pemerintahan menurut etika adat Melayu yang bersandarkan ajaran Islam. 
Ramai sarjana terutamanya ahli penyelidik Barat menganggap Sejarah Melayu atau Sulalatus Salatin sebagai hasil sastera Melayu yang terpenting dan terbaik antara hasil sastera Melayu lama. A. Teeuw dalam kata pendahuluan Sejarah Melayu terbitan Abdullah berpendapat:
“…Sejarah Melayu adalah salah satu karangan yang terpenting dan yang memikat sekali dari kesusasteraan Melayu…”
Sejarah Melayu dipandang penting oleh para sarjana Barat dan tempatan sebagai satu sumber tentang sejarah sesuatu bangsa dari Timur. Selain itu, Sejarah Melayu juga merupakan rujukan bagi mengetahui segala hal yang berkaitan dengan raja-raja Melayu, sejarah kebudayaan, adat istiadat Melayu, corak kehidupan masyarakat golongan istana pada zamannya. Mengikut Teuku Iskandar, naskah Sejarah Melayu yang ada sekarang ini dapat dibahagikan kepada tiga jenis, iaitu:
                                 I.            Naskah Raffles 18, Royal Asiatic Society, London.
                              II.            Naskah-naskah edisi Abdullah Munsyi, edisi W.A. Shellabear dan edisi Dulaurier.
                           III.            Naskah yang tersimpan di perpustakaan Royal Asiatic Society of London.